Saturday, September 17, 2011

Apa guna berkahwin sekiranya si lelaki tidak tahu tanggungjawab dia yang sebenar... Apa guna berumahtangga kalau hidup bersama, rata-rata keperluan; si isteri yang menanggung... Tidak rasa malu kah dengan diri sendiri apabila semuanya diuruskan oleh sang isteri?... Baik keperluan rumah sampai lah kepada keperluan diri sendiri...

Aku tidak faham perangai sesetengah lelaki yang sudah berumahtangga ini... Biarpun sudah berkahwin, segala tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga jatuh ke tangan sang suami... Seharusnya, setiap keperluan isi rumah adalah menjadi tanggungjawab mereka dan ini termasuklah tanggungjawab kepada isteri... Mereka tidak seharusnya mengabaikan isteri yang telah mereka kahwini semata-mata untuk mengejar apa yang mereka inginkan...

Aku bukan mahu memburuk-burukkan kaum lelaki kerana aku sendiri merupakan seorang lelaki... Tapi aku cukup geram dengan segelintir orang lelaki yang 'tidak tahu' dan 'tidak sedar' yang mereka sudahpun melanggar syarat-syarat sebagai seorang suami... Jangan katakan syarat, perkara asas dan terpenting dalam rumahtangga pun mereka sudah abaikan... Aku kasihan melihat para isteri yang selalu memendam rasa (menitis airmata tu, aku tidak pasti... mungkin ada kot) mengenangkan nasib mereka... Dah lah segala keperluan mereka yang tanggung, si suami buat-buat tidak tahu saja... Janji perut kenyang dan keinginan mereka tertunai... Duit gaji yang berkepuk tiap-tiap bulan, disimpan dalam bank... Nafkah yang diberikan kepada isteri, entah kemana... Mungkin mereka (suami) menjangkakan bahawa si isteri bekerja dan mempunyai wang sendiri, tidak perlu diberi nafkah... Itulah satu alasan yang seringkali diguna pakai bila soal nafkah dibangkitkan... 

Hakikatnya, walaupun si isteri bekerja, itu tidak bermakna suami tidak perlu memberikan nafkah kepada isterinya... Nafkah TETAP nafkah dan ianya dipertanggungjawabkan kepada suami selepas akad dilafazkan di hari perkahwinan dahulu... Si isteri bekerja bukan untuk mencari wang sendiri tapi sebagai persiapan membantu si suami dan keluarga dalam menjalani kehidupan seharian... Itupun, bukan menjadi kewajipan kepada si isteri dalam mencari nafkah... Sekiranya suami tidak mengizinkan isteri untuk bekerja, maka isteri tidak mempunyai sebarang mata pencarian untuk dirinya sendiri...

Aneh bila aku dapat tahu masih ramai lagi lelaki yang begini... Entah mana yang silapnya... Aku cukup terkejut kerana ada segelintir lelaki yang berumahtangga ini sanggup beranggapan bahawa isteri ibarat 'lombong emas' yang perlu dikaut sehingga habis... Bagi seorang isteri yang sememangnya patuh dan taat kepada perintah suami hanya mampu menelan perit jerihnya... Bayangkan apabila suami tergamak menyakiti hati isteri sendiri dengan menyebut ayat-ayat yang tidak sepatutnya didengar sehingga isteri hampir mengalirkan air mata... Bila dikenangkan balik, apa guna berumahtangga sekiranya suami berfikiran begitu?

Pembiayaan pinjaman rumah, isteri dah tanggung... Kadang-kala makan minum, si isteri terpaksa cari sendiri... Ibarat macam 'kau, engkau.. aku, aku'... Pinjaman kereta pun, isteri yang tanggung juga... Sampai isteri sukar nak bergerak pun, dibebani pula dengan tambahan hutang untuk membeli kereta baru.. Si suami cuma bagitahu apa yang perlu si isteri buat dan membiarkan si isteri terkontang-kanting menguruskan sendiri segala proses jual beli kereta... Tidak pula dia menawarkan diri untuk membantu atau menguruskan bayaran pendahuluan... Jauh sekali nak membayar harga jualan kereta yang tidak seberapa itu... Sungguh tak guna, bukan??...

Bila aku kenangkan semula, seolah-olah selama ini isteri yang banyak keluar duit berbanding suami... Yang suami pula, tak habis-habis nak 'cekau' duit gaji isteri sendiri... Apa kes??... Sepatutnya, dia (suami) lah memberi segala perbelanjaan dan juga nafkah yang perlu isteri terima dan bukan meminta apa-apa dari mereka... Kalau aku, aku dah tak tahu nak letak muka dekat mana dah... Yelah kan, dah hampir semuanya bini yang keluar duit... Nak kata suami tu sengkek, gaji bulan-bulan lebih banyak dan besar dari si isteri... Siap bangga dan bagitahu, "sejak saya kahwin dengan awak, rezeki saya murah dan melimpah ruah untuk DIRI SAYA SENDIRI'... 'What the .....'

Kalau kalian lah kan, apa yang kalian rasa bila pasangan kalian sebut macam tu?... Pasti hati akan terguris kan?

Aku dengar pun, aku dah panas dah... Rasa macam nak lempang je jantan macam ni... Memang tak boleh pakai langsung!... Kedekut tu, jangan cakaplah... Dengan isteri sendiri cukup berkira!... Macam isteri tu orang asing je... Aku pun tidak faham dengan manusia macam ni... Rasa macam dia tak layak untuk berkahwin dan berkeluarga sebab tanggungjawab sendiri pun tidak tahu!... Nak kata tidak pandai agama, sembahyang tonggang-tonggek... Entah apa yang dia baca ketika mendirikan solat selama ini, hanya Allah je yang tahu...

Serius, memang aku bengang dan cukup panas dengan orang macam ni!...

Friday, September 16, 2011

Hari ini sungguh memenatkan aku... Tapi aku rasa puas... Puas kerana apa yang aku rancangkan berjaya aku penuhi... Alhamdulillah...

Seawal jam 5.30 pagi, aku dah bangkit dari tidur... Walaupun hari ini merupakan hari cuti umum se Malaysia (Hari Malaysia), aku tetap bangkit awal... Bukan kerana aku kena bersiap untuk pergi ke tempat kerja tetapi untuk menunaikan janjiku menghadiri perarakan Hari Kebangsaan dan sambutan Hari Malaysia di Dataran Merdeka... Lagipun, memang aku nak pergi ke sana hari ini untuk melihat dengan mata kepalaku sendiri suasana dan kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini... Selama ini, asyik tengok di kaca televisyen saja, bila lagi nak tengok secara 'live' kan?... Dalam masa yang sama, dapatlah aku 'mengasah' bakat dan skil aku dalam bidang fotografi... Lagipun, sebelah pagi memang aku tak ada apa-apa program... Jadi aku pun ikutlah teman aku ke lokasi tempat kejadian... Kami berangkat menggunakan perkhidmatan tren PUTRA sebab nak elakkan tersangkut dan tidak boleh masuk ke pusat bandar... Senang untuk bergerak dan aku tak payah nak pening kepala fikir di mana aku nak letak kereta aku nanti...

Sampai saja di Dataran Merdeka, macam biasa... Orang awam sudah ramai berkerumun di tempat berlangsungnya upacara sambutan... Terasa kemeriahan dengan warna-warni penduduk ibu kota dan pelawat yang datang dari segala ceruk dan pelusuk tempat... Ada yang berpakaian tradisional malah yang 'canggih' pun ada gak... Menarik!... Aku dan teman memang tidak melengahkan masa; mencari 'port' yang sesuai untuk melabuhkan diri dan menjalankan tanggungjawab kami sebagai 'paparazi' yang tidak berdaftar dan tidak bertauliah.. Hehehehee..

Macam-macam ragam orang yang aku lihat dan temui... Dari sekecil-kecil umat sampai lah yang ke tua bangka... Segala lapisan masyarakat, semuanya berkumpul dan berkampung di sini... Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang bersama-sama meraikan Hari Malaysia yang disambut 16 September setiap tahun... Tersentuh jiwaku bila melihat anak-anak kecil yang ada... Begitu ramai sekali!... Terdetik dalam fikiranku; "dalam seawal begini, mereka masih lagi mampu bangun seawal pagi semata-mata untuk mengikuti ibubapa mereka ke Dataran Merdeka menyambut Hari Kebangsaan..." Kalau kebanyakkan kita, dapat saja cuti umum, maka akan ramailah yang akan bangun lewat... Berbeza sungguh semangat 'keMalaysiaan' yang tersemai di hati sanubari insan-insan kecil ini... Eloklah begitu... Mereka pun nanti, warisan bangsa kita juga... Semangat dan sifat-sifat sebegini harus dipupuk sewaktu mereka masih kecil lagi... Semangat kewarganegaraan seharusnya berada di paras tertinggi agar warisan kita terus kekal dan wujud di masa hadapan...

Pelbagai acara dilakukan selain daripada acara perarakan lintas langsung... Formasi manusia di tengah-tengah padang di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad nyata mencuri pandangan dan perhatianku... Tapi malangnya, kedudukan aku terlalu jauh untuk aku rakamkan saat-saat indah dan menarik tadi... Tidak mengapa lah... Aku nak bergerak masuk untuk pergi lebih dekat pun, agak sukar kerana kawalan pegawai yang bertugas yang ketat... Jadi, hanya beberapa 'shot' perarakan dari jarak dekat yang mampu aku ambil pagi tadi... Jadilah tu, kan... Janji aku dapat beberapa keping gambar... Nak dapat yang 'perfect' ketika tu, memang payahlah.. Tu pun, banyak yang aku 'gamble' sebab terlalu ramai umat manusia yang berpusu-pusu menuju kehadapan untuk melihat perarakan dari pelbagai kontigen yang menyertai perbarisan kali ini... InsyaAllah, ada kesempatan nanti, akanku muat-naikkan hasil gambar-gambar yang telahku tembak...

Pabila melihat keadaan sekeliling, dengan aku dikerumuni jutaan rakyat Malaysia; diselangi pula dengan lagu-lagu patriotik dan Negaraku; hatiku rasa berbangga dan bertuah kerana aku dilahirkan di negara ini, negara bertuah... Aman dan damai walaupun berbilang bangsa dan kaum; tanpa sebarang pertelingkahan dan masalah... Alangkah bangganya aku dengan negaraku ini... Setelah sekian lamanya melalui pahit getir zaman kesusahan sehinggalah kini maju dan hampir setanding dengan negara besar yang lain... Alhamdulillah, syukur aku kepada Allah kerana dapat menikmati semua ini di bumi tempat tumpah darahku ini... Di mana lagi dapat ku cari semua ini???... Pergi lah sejuah mana pun, merantau lah satu dunia pun, tetap takkan aku jumpa negara Malaysia bertuah ini...

Benarlah kata orang-orang tua, "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri... baik lagi di negeri sendiri..."

Masa perarakan tadi, sempat juga aku melihat pelbagai inovasi hasil kerja tangan rakyat Malaysia... Antara yang mencuri perhatianku ialah penghasilan lebih banyak kereta nasional negara, Proton... Dari model "Tuah" ke "Jebat"...  "Lekir" ke "Lekiu"... Kesemuanya ku lihat menarik dengan ciri-ciri yang berbeza... Bertapa bangganya aku bila negara kita mampu mengeluarkan produk-produk yang berkualiti tinggi seperti bio-diesel, produk berasaskan asas tani dan sebagainya... Kita juga tidak ketinggalan dari segi teknologi di mana kita mampu menghasilkan kereta solar sendiri... Ya, tidak dinafikan semua ini sudah ada dan tercipta di negara maju yang lain... Pokoknya, sekiranya negara maju tersebut boleh buat dan mampu mengeluarkannya, kita juga mampu!...

Terima kasih Malaysia untuk semua ini... Dan aku sebagai salah seorang anak Malaysia, tetap tidak akan lupa asal usul aku walaupun di mana saja dan kemana saja aku pergi dan jelajahi selepas ini...

Majlis berakhir lebih kurang pukul 10.00 pagi dan aku bersama teman duduk minum kejap sebelum berangkat pulang untuk solat Jumaat selepas itu... Petang pula, ada jemputan rumah terbuka CEO dari syarikat penyelaras kerugian di Seri Kembangan... Asalnya, malas nak pergi tetapi aku gagahi juga kerana menerima arahan dari boss aku sendiri... Lagipun dia tak tahu jalan, jadi macam biasa aku lah yang kena memandu...

Selamat Hari Malaysia buat semua rakyat Malaysia yang membaca coretanku kali ini..... Semoga Malaysia akan terus maju, hendaknya....

Sunday, September 11, 2011

Masa begitu pantas berlalu... Sedar atau tidak, kini kita sudah 2 minggu menyambut Hari Raya Aidilfitri... Tanpa aku sedar, sudah separuh bulan Syawal pergi meninggalkan kita.. Rasa macam baru semalam sahaja aku mendengar takbir "Allahuakhbar" itu...

Tahun ini, tidak seperti tahun yang lepas-lepas... Ku rasakan Syawal kali ini seolah-olah tidak memberikan apa-apa makna bagiku... Entah kenapa, aku merasakan ianya agak 'membosankan'... Di tambah pula dengan pelbagai ragam dan perihal yang menimpa diriku; dari masalah sehinggalah aku jatuh sakit... Rasa seperti aku tidak mahu melaluinya lagi... Syukur, Allah itu Maha Kaya dan Maha Berkuasa... Ku lalui semua itu dengan pantas tanpa aku menyedari yang ianya telah berlalu...

Ibarat mimpi ngeri, aku tidak mahu lagi menoleh kebelakang... Apa nak jadi, jadilah.. Aku tetap dengan pendirianku... Cuma apa yang aku rasakan tidak sedap ialah mengapa kesihatanku kini semakin hari semakin merosot?... Adakah kerana perkara yang lepas-lepas menyebabkan aku jadi begini... Atau fizikalku yang sudah tidak mampu lagi menahan segala bentuk 'cabaran' dan 'ancaman' dari luar...

Saban hari aku memohon agar dikurniakan kesihatan yang berkekalan dan keupayaan untuk mengharungi kehidupan seharian... Walaupun aku tahu dan aku akur bahawa kehidupan seseorang manusia itu tidak semestinya senang dan bahagia... Pasti akan ada dugaan dan cabaran yang harus ditempuhi... Persiapan mental dan fizikal seharusnya sejajar agar aku tidak 'terjelepok' jatuh tersungkur...

Ramai yang memberikan kata-kata nasihat dan semangat untuk aku teruskan kehidupan seperti sediakala.. Walaupun aku tahu, adakala sukar untuk aku hadapinya namun apa pilihan yang aku ada? Sama ada aku teruskan atau aku mengalah... Itu sahaja pilihan yang aku ada... Kalau satu ketika dahulu, apa sahaja yang ada didepan mataku, akan ku uruskan sebaik mungkin, kali ini, aku banyak bertanya pada diri sendiri... Apa yang sewajarnya aku lakukan...

Walaubagaimanapun, itulah kehidupan aku sebelum ini... Setelah sekian lama aku 'menghilangkan' diri dan kini aku kembali semula... Kembali dengan nafas baru??... Mungkin ya, mungkin juga tidak... Dunia penulisan blog ini telah lama aku tinggalkan dan hari ini barulah aku berdaya untuk menitipkan sebaris dua ayat buat catatan diriku sendiri...

Salam Syawal buat semua rakan-rakanku yang telah lama merindui hasil penulisanku... Moga kalian baik-baik sahaja selama ini...

Wednesday, May 12, 2010

Salam sejahtera...

Sekadar buat renungan dan pedoman untuk kita semua... Moga-moga ia memberi pengajaran yang sangat berguna, InsyaAllah...


Kita renungi sebuah kisah yang berlaku pada zaman Rasululah S.A.W yang menceritakan tentang kisah seorang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya yang juga merupakan antara dosa paling besar di dalam Islam. Allah S.W.T melaknati perbuatan ini dan mengenakan azabnya di atas dunia lagi, ini kerana dosa menderhaka kepada kedua ibu bapa merupakan salah satu dosa yang disegerakan azabnya di muka bumi lagi!...

Kisah yang berlaku kepada Alaqamah yang mempunyai seorang ibu yang telah tua, dan beliau seorang yang terkenal sebagai seorang anak yang taat dan patuh kepada ibunya dan juga seorang ahli ibadat dan sering bersedekah kepada fakir miskin. Keadaan ini tidak berkekalan kerana setelah Alaqamah berkahwin, beliau telah mengabaikan ibunya dan tidak melayaninya seperti mana sebelum dia berkahwin. Hal ini telah menyebabkan ibunya kecil hati dan kecewa lalu dia berpindah dari rumah Alaqamah dan menyendiri di sebuah pondok usang namun Alaqamah tidak berusaha untuk mencarinya.

Pada suatu hari Alaqamah telah ditimpa penyakit dan sakit tenat, ketika ajalnya hampir tiba, seluruh keluarganya berkumpul dan mengajarnya mengucap. Perkataan "La ila ha illallah" tidak dapat diucapkannya walaupun perkataan itulah yang menjadi ratib dan zikirnya setiap masa sewaktu sihat dulu. Kaum keluarganya berusaha berkali-kali namun sia-sia sahaja kerana mulut Alaqamah seakan-akan terkunci. Mereka akhirnya kecewa dan menyampaikan kejadian tersebut kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W mengeluarkan arahan agar para sahabatnya pergi melihat keadaaan Alaqamah dan cuba berusaha mengajarnya mengucap tetapi usaha mereka juga sia-sia.

Rasulullah S.A.W kemudian memerintahkan agar dicari ibu Alaqamah dan membawa bertemu dengan baginda. Sebaik sahaja ibu Alaqamah tiba, baginda lantas bertanya mengenai keadaan diri Alaqamah. Ibu Alaqamah mengakui bahawa dia berkecil hati dengan perbuatan anaknya itu yang tidak memperdulikannya dan akibat perbuatan Alaqamah itu dia enggan memaafkannya. Rasulullah S.A.W memerintahkan agar para sahabat mengumpul kayu api, arahan baginda tersebut sudah tentu mengejutkan para sahabat dan merasa hairan lantas menanyakan sebab-sebabnya. Baginda memberitahu bahawa kayu api tersebut akan digunakan untuk membakar Alaqamah di depan ibunya.

Apabila ibu Alaqamah mendengar Rasulullah S.A.W hendak membakar Alaqamah dengan kayu api tersebut, ibunya menangis dan merayu agar anaknya itu tidak dibakar dan dia bersumpah dengan nama Allah S.W.T di hadapan Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya untuk memaafkan Alaqamah dengan penuh ikhlas dan rela hati.

Rasulullah S.A.W kemudian memerintahkan agar para sahabat pergi melihat keadaan Alaqamah, sebaik sahaja mereka tiba dan belum sempat untuk mengajarnya mengucap, Alaqamah telah mengucapkannya dengan lancar dan fasih sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Demikianlah sebuah kisah yang cukup menakutkan sebagai peringatan bagi manusia bahawa azab dan seksaan menderhaka kepada kedua orang tua itu akan disegerakan di muka bumi ini lagi. Oleh bersama-samalah kita berbakti kepada mereka berdua selagi hayat mereka masih ada, bagi mereka yang telah kehilangan mereka maka doa anak yang soleh itu adalah terlebih manfaat baginya.


Sumber : Tidak Diketahui (E-mel)

Tuesday, May 11, 2010

Salam sejahtera dan bertemu kembali...

Semalam, jabatan tempat aku bekerja telah mengadakan makan-makan... Sebenarnya, tiada majlis khusus kali ini, sekadar untuk suka-suka sahaja... Rancangannya, ingin buat secara kecil-kecilan kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa... Tetapi tidak sangka pula, kecil-kecil pun akhirnya jadi besar pula...

'Potluck' dengan tema "Santai" menjadi pilihan... Kami satu jabatan sepakat untuk membawa makanan sarapan pagi sebagai hidangan... Dari hampir 40 orang yang ada, bermacam-macam menu yang aku terima... Dari makanan tradisional sehinggalah yang moden... Resipi tempatan mahupun barat; semuanya ada...

Ketika aku mengumumkan mengenai rancangan makan-makan ini, responnya agak kurang memuaskan... Mungkin kerana 'enjin' masih belum panas... Ramai yang masih lagi 'blur' nak bawa/masak apa untuk pagi semalam... Tambahan pula, notis yang diberikan cukup singkat jadi masing-masing tidak mempunyai kesempatan untuk berfikir dengan lebih lanjut menu apa yang perlu dibawa... Faham jugalah... Kena pula yang bujang-bujang tu; sah-sahlah jarang memasak dirumah...

Bila e-mel dihantar untuk bertanyakan menu masing-masing, aku dapat rasakan bahawa sambutan untuk makan-makan kali ini kurang meriah... Tidak seperti dahulu kala, bila e-mel dihantar ke kotak mesej masing-masing, cepat saja responnya... Macam-macam menu akan keluar... Kali ini, agak sedikit berbeza... Mungkin kerana waktu rancangan bermula itu diawal pagi, jadi tidak banyak pilihan yang ada... Selalunya kalau sarapan, orang akan sediakan kuih muih serta nasi lemak... Jarang orang nak masak menu yang terlalu berat...

Aku cukup kagum dan terkejut selepas beberapa ketika e-mel yang aku hantar kepada semua rakan sepejabat menerima maklumbalas yang sangat memberangsangkan... Bukan setakat kawan-kawan aku saja, malah kesemua bos-bos aku pun turut serta... Tiada yang terkecuali dalam rancangan makan-makan kali ini... Betapa gembira dan seronoknya aku apabila masing-masing beria-ia ingin menyediakan makanan untuk rancangan semalam... Syukur, alhamdulillah tiada siapa yang membangkang...

Menu yang aku terima pun, sedap-sedap belaka... Pelbagai jenis dan asal; dari yang simple sehinggalah yang rumit... Ada makanan yang boleh dikudap-kudap begitu sahaja dan ada yang begitu berat... Bila aku lihat menu-menu yang diberikan, rasa macam nak pengsan!... Banyak betul!!!... Antara yang menarik ialah spageti bolognese, lontong istimewa, nasi lemak kaw!, bubur ayam dan sebagainya... Kuih-muih pun ada bermacam-macam membuatkan aku rasa terpesona seketika...

Dari awal, aku mensasarkan bahawa makanan ini akan jadi banyak dan jumlah cukup untuk dimakan sepanjang hari; dari pagi sehinggalah ke petang... Memang masin mulut aku, bila tiba masanya, memang penuh meja hidangan dengan makanan yang cukup banyak!... Bila lihat, terasa senak pula perut melihat "kemeriahan" makanan-makanan ini... Aku cukup terharu dan kagum dengan kesungguhan rakan-rakan sekerja dalam menjayakan rancangan makan-makan kali ini... Lagipun, rancangan ini diadakan cuma sekali dalam sebulan... Jadi tiada masalah sekiranya kita bersungguh-sungguh melakukannya kan?...

Aku ingin berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan rancangan makan-makan kali ini... Semoga kerjasama erat yang terjalin akan kekal sampai bila-bila... Mungkin selepas ini, aku akan merancang untuk projek mega pula; jalan-jalan sambil makan angin bersama semua rakan-rakan sepejabat... InsyaAllah...


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket


Photobucket
Sibuk menyiapkan bahan-bahan untuk buat pecal...


Photobucket
Haiiii.. promo pinggan baru, nampak... Heheheheee


Photobucket


Photobucket
Konsep ala "santai"... Masing-masing duduk diatas tikar sambil menikmati hidangan...

Monday, May 10, 2010

Buat pedoman semua terutama sekali ibu² yang senang naik baran... Fikir² kan nasib yang akan menimpa anak² sekiranya mulut terlalu 'ringan' mengucapkan kata²...

Ingatlah, kata² yang keluar dari mulut seorang ibu itu adalah satu doa buat anak²nya...


Suatu hari seorang alim yang sangat takwa kepada Tuhan bermaksud untuk pergi ke Tanah Suci mengerjakan ibadah haji. Waktu dia meminta izin kepada ibunya, ternyata perempuan tua itu sangat keberatan. Menurut ibunya, tunda dahulu keberangkatanmu sampai tahun depan. Ia merasa bimbang terhadap keselamatan anaknya, kerana orang alim itu adalah satu-satunya anak yang hidup dari hasil perkahwinan dengan almarhum suaminya.

Rupanya orang alim yang soleh itu sudah tidak dapat menahan keinginannya untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Maka, walaupun tidak mendapat restu dari ibunya, dia berkemas-kemas lalu berangkat menuju ke Tanah Haram. Jelas keputusannya ini bertentangan dengan ajaran Nabi. Kerana redha Allah bergantung kepada redha orang tua, begitu pula murka Allah terletak dalam murka orang tua.

Ketika menyaksikan anaknya yang pergi juga, ibu yang sudah tua itu tergopoh-gapah mengejar anaknya. Akan tetapi anaknya itu sudah telalu jauh. Dia tidak mendengar suara ibunya yang memanggil-manggil sambil berlari-lari itu. Dalam marahnya ibu yang sangat cinta kepada anaknya tersebut menadahkan kedua tangannya lalu berdoa: "Ya Allah, anakku satu-satunya telah membakar diriku dengan panasnya api perpisahan. Kumohon pada-Mu, balaslah dia dengan seksaan yang setimpal. Sebagai ibunya, aku merasa sakit hati, ya Allah."

Doa ini jelas tidak pada tempatnya bagi seorang ibu yang seharusnya bijaksana. Sebab di antara doa-doa yang dikabulkan adalah doa seorang ibu terhadap anaknya. Bumi seolah-olah bergoyang mendengar doa ini. Namun orang alim tadi terus juga berjalan. Pada sebuah kota kecil sebelum sampai tempat tujuannya, orang alim itu berhenti melepaskan lelah. Menjelang Maghrib dia berangkat ke masjid dan solat sampai Isyak. Sesudah itu ia terus mengerjakan solat-solat sunat dan wirid hingga jauh malam.

Secara kebetulan di sudut kota yang lain, pada malam itu terjadi peristiwa yang menggemparkan. Ada seorang pencuri yang masuk ke dalam rumah salah seorang penduduk. Orang yang punya rumah terjaga dan bersuara. Tiba-tiba pencuri itu terjatuh kerana terlanggar suatu benda di kakinya. Ketika terdengar bunyi sesuatu yang jatuh itu, maka orang yang punya rumah pun memekik-mekik sambil berkata, "pencuri!... pencuri!..."

Seisi kampung terbangun semuanya. Dengan ketakutan pencuri itu lari sekuat tenaga. Orang-orang kampung terus mengejarnya. Pencuri itu lari ke arah masjid dan masuk ke halaman masjid tersebut. Orang-orang pun mengejar ke sana . Ternyata pencuri itu tidak ditemukan di dalam rumah Allah itu.

Salah seorang di antara mereka memberitahu kepada pemimpinnya, "Kita sudah mencari di sekeliling masjid, namun tidak ada bekas-bekasnya sedikitpun..."

Yang lainnya pula berkata, "Tidak mungkin dia ditelan bumi, aku yakin dia belum lari dari sini. Kalau di luar masjid tidak ada, mari kita cari ke dalam masjid. Berkemungkinan dia bersembunyi di situ."

Maka orang-orang pun masuk ke dalam masjid. Ternyata betul, di dekat mimbar ada seorang asing sedang duduk membaca tasbih. Tanpa bertanya-tanya lagi orang itu ditarik keluar. Tiba di halaman masjid, orang tadi sudah terkulai dan pengsan kerana dipukul beramai-ramai.

Penguasa hukum di kota tersebut malam itu juga memutuskan suatu hukuman yang berat kepadanya atas desakan masyarakat yang marah. Maka orang tersebut diikat pada tiang dan dicambuk badannya.

Keputusan dari hakim ini jelas menyalahi ajaran Nabi, bahawa seorang hakim seharusnya menyelidiki hingga hujung suatu perkara, dan tidak boleh menjatuhkan keputusan berdasarkan hawa nafsu. Begitu juga walaupun lelaki itu dituduh menodai kesucian masjid kerana bersembunyi di dalamnya, dengan berpura-pura bersembahyang dan membaca wirid, padahal dia adalah pencuri.

Pagi-pagi lagi seluruh penduduk kota itu sudah berkumpul di pasar menyaksikan jalannya hukumam qisas itu. Selain algojo melaksanakan tugasnya, orang-orang pun bersorak-sorak melihat si alim dicambuk hingga pengsan. Mereka tidak lagi mematuhi ajaran Islam untuk berbuat adil terhadap siapa saja, termasuk kepada pencuri yang jahat sekalipun. Darah memercik ke sana ke mari, orang-orang kelihatan semakin puas.

Semakin siang semakin ramai orang yang berkumpul menonton dan meludahi pencuri yang terkutuk itu. Dalam kesakitannya, orang alim yang dihukum sebagai pencuri itu mendengar salah seorang penduduk yang berkata, "Inilah hukuman yang setimpal bagi pencuri yang bersembunyi di dalam masjid!" sambil meludah muka orang alim tersebut.

Orang yang dihukum yang dianggap pencuri ini dengan suara yang tersendat-sendat membuka mulutnya berkata, "Tolong jangan katakan demikian. Lebih baik beritahukanlah kepada orang ramai bahawa saya ini adalah hamba Allah yang ingin mengerjakan ibadah haji, tapi tidak mendapat restu dari orang tua..."

Mendengar ucapan ini, orang yang mendengar jadi terkejut dan menanyakan siapakah dia sebenarnya. Orang alim tadi membuka rahsianya, dan masyarakat jadi serba salah. Akhirnya mereka terpaksa memberitahukan hal itu kepada hakim.

Setelah hakim itu datang dan tahu duduk perkara yang sebenarnya, maka semua mereka menyesal. Mereka kenal nama orang alim itu, iaitu orang yang soleh dan ahli ibadah. Cuma belum pernah tahu rupanya. Ibu-ibu yang hadir serta orang tua lainnya ramai yang merasa sedih tidak dapat menahan diri, tapi sudah tidak ada gunanya.

Malamnya, atas permintaan orang alim itu setelah dibebaskan dari seksaannya, dihantarkan ke rumah ibunya. Pada waktu orang alim tersebut akan dihantar, ibunya telah berdoa, "Ya Allah, jika anakku itu telah mendapatkan balasannya, maka kembalikanlah dia kepadaku agar aku dapat melihatnya..."

Begitu selesai doa si ibu, orang yang membawa anaknya pun sampai. Orang alim itu minta didudukkan di depan pintu rumah ibunya, dan mempersilakan orang yang mengantarnya itu pergi. Sesudah keadaan sunyi kembali, tidak ada orang lain, maka orang alim itupun berseru dengan suara yang pilu, "Asalamualaikum..."

Maka terdengarlah suara orang tua yang menjawab salamnya dari dalam. Bergetar hati si alim mendangar suara itu, "Saya adalah musafir yang terlantar. Tolonglah beri saya roti dan air sejuk..." kata orang alim itu menyamar diri.

"Mendekatlah engkau ke pintu. Hulurkan tanganmu melalui celah pintu..." jawab suara tadi dari dalam.

"Maaf, saya tidak boleh mendekati pintu kerana kedua kaki saya sangat kaku. Saya juga tidak dapat menghulurkan tangan melalui celah pintu, kerana tangan saya terasa letih..."

"Jadi bagaimana caranya?..." si ibu mengeluh kehilangan akal. "Antara kita ada pemisah yang tidak boleh dilanggar. Engkau lelaki yang tidak saya kenal, dan saya, walaupun sudah tua, adalah seorang perempuan..."

"Jangan bimbang wahai puan..." kata orang alim tersebut. "Saya tidak akan membuka mata kerana kedua mata saya sangat pedih, jadi saya tidak akan melihat ke arah puan..."

Mendengar jawapan itu, tidak beberapa lama kemudian perempuan itu pun keluar membawa sepotong roti dan segelas air sejuk. Orang alim itu begitu saja merasakan kehadiran ibunya, sudah tidak mampu lagi menahan diri. Ia memeluk kaki ibunya dan menjerit sambil menangis, "Ibu, saya adalah anak ibu yang derhaka..."

Ibunya pun merasa sedih. Dipandangnya orang cacat di mukanya itu lalu ia menjerit ternyata adalah anaknya. Mereka berdua saling berpelukan dalam tangisan.

Ketika itu juga perempuan tersebut menadahkan tangannya memohon ampun kepada Allah, "Ya Allah, kerana telah jadi begini sungguh saya menyesal atas kemarahan saya kepada anak sendiri, saya bertaubat untuk tidak mengulangi lagi perkara ini, ampunilah saya ya Allah, serta ampunilah dosa orang-orang yang menyeksanya kerana kami semua telah disesatkan olehgodaan iblis dengan nafsu marah..."


NOTA:

Sebagai seorang ibu, kita haruslah bersabar dengan karenah anak-anak. Anak-anak adalah anugerah dari Allah swt kepada kita. Jika anak-anak kita telah menyakiti atau melakukan dosa terhadap kita,janganlah terus mendoakan sesuatu yang buruk keatas mereka.

Ingatlah, doa seorang ibu untuk anaknya adalah diantara doa yang akan segera dimakbulkan oleh Allah SWT. Sebaliknya kita haruslah berdoa agar anak-anak kita akan insaf dan segera bertaubat.


Source : Unknown (E-mail)


 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.